Perutusan Pengerusi

 

 

Assalamualaikum.. Saya bersyukur ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan limpah keizinanNya dapat saya menyampaikan sepatah dua kata di dalam Laman Web Puspanita Kementerian Pelajaran Malaysia. Setinggi-tinggi syabas saya ucapkan kepada semua yang diamanahkan, terutamanya Jawatankuasa Kecil ICT kerana berjaya mempertingkatkan usaha ke arah perkongsian maklumat dikalangan ahli-ahli Puspanita khususnya ahli-ahli Puspanita Kementerian Pelajaran Malaysia.

Ini melambangkan titik permulaan ke arah kerjasama sebagai satu pasukan untuk mempertingkatkan usaha ke arah Perkongsian dan Penyebaran maklumat kepada semua Warga Puspanita Kementerian Pelajaran walaupun bebanan tugas dibuat secara sukarela. Saya percaya semua perancangan yang dibuat akan dapat direalisasikan jika semua pihak berganding bahu dan bersemangat dalam mencapai wawasan PUSPANITA KPM untuk menjadi wanita yang berdaya saing, berkualiti, berilmu, berwawasan, berkemahiran, berketrampilan dan bertaqwa supaya dapat menyumbang kepada pembangunan diri, keluarga dan Masyarakat Sejagat.

Semenjak Puspanita ditubuhkan di Kementerian ini, saya yakin banyak kejayaan yang telah dicapai dan ianya amatlah memberansangkan dimana  menerusi aktiviti kemajuan diri, ceramah, bengkel, seminar dan kursus yang dianjurkan, kaum wanita dalam Perkhidmatan Awam berpeluang untuk meningkatkan hubungan silaturrahim, ilmu kemahiran disamping meningkatkan ketrampilan diri.

Dengan bilangan Ahli Puspanita yang semakin meningkat, saya sangat berharap lebih banyak aktiviti yang berfaedah dapat dilaksanakan. Sepanjang tahun 2006, 2007 pelbagai aktiviti telah dilaksanakan seperti ceramah kesihatan, bengkel kreatif, acara sukan, lawatan ke luar negara, kunjungan ke rumah anak yatim, Etiket Sosial, Kursus Kecantikan Wanita, Komunikasi Berkesan dan sebagainya.

Aktiviti yang dijalankan ini bukan sahaja bertujuan mengeratkan hubungan antara ahli tetapi juga sebagai tanda terima kasih di atas sokongan ahli kepada aktiviti Persatuan. Aktiviti-aktiviti yang dirancang amat memerlukan kerjasama semua di dalam memastikan ia berjaya dilaksanakan. Saya juga berharap ahli-ahli akan terus memberikan cadangan dan pandangan untuk memastikan Persatuan ini terus bergerak dengan jayanya.

Sebuah persatuan yang berjaya adalah hasil sokongan padu ahli-ahlinya dan usaha serta tenaga yang diberikan ahli-ahli Jawatankuasa yang dilantik. saya mengambil peluang di sini mengucapkan setinggi Penghargaan dan berbanyak terima kasih kepada seluruh ahli yang terus menerus memberi sokongan padu kepada Puspanita KPM dan bekerjasama erat dengan Jawatankuasa terbabit dalam merealisasikan segala program yang telah dirangka.

Saya berseru kepada semua ahli untuk sentiasa memupuk perasaan muhibbah disertai dengan semangat bekerja bersungguh-sungguh dalam melaksanakan semua aktiviti PUSPANITA. Ini amat penting supaya kita terus menjadi contoh dan teladan kepada masyarakat keliling terutamanya generasi muda.

Akhir kata, saya menyeru kepada semua ahli PUSPANITA KPM untuk menghayati slogan "Wanita Sepakat Negara Meningkat" kerana sesungguhnya di dalam era globalisasi, amatlah wajar ahli-ahli PUSPANITA memainkan peranan masing-masing serta mempunyai fikiran yang bernas lagi positif untuk mengatasi sesuatu masalah atau cabaran. Justeru itu kita mestilah mengamalkan semangat 'Team Work' bersikap toleransi serta berhemah- tinggi, berniat jujur dan ikhlas serta bersifat penyayang antara satu sama lain agar keharmonian dalam PUSPANITA berterusan dan seterusnya dapat menyumbang ke arah kemakmuran Negara. 

 

 

Halaman Utama        Paparan Atas