KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA  

 HYPER RANGKAIAN
Kementerian Pelajaran Malaysia
Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia
Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran
Jabatan Perkhidmatan Awam
Perbendaharaan
MAMPU
 MUAT TURUN
Borang Pertukaran Guru
Borang Pertukaran Murid
Borang Masuk Sekolah Kerajaan
 HARI GURU
>>Laman Utama>>Persekoalahan>>Hari Guru
Latar Belakang

Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita. Dokumen tersebut yang dikenali sebagai Laporan Razak (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak hari itu.

Objektif

  •  
Menitikberatkan perancan guru dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan integrasi), pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat.
 
  •  
Menarik perhatian ibu bapa, murid dan orang ramai kepada peranan penting kaum guru dalam masyarakat Malaysia
 
  •  
Memupuk perasaan perpaduan ikhtisas dan muhibah di antara guru.
 
  •  
Meninggikan martabat dan taraf guru dalam masyarakat.
 
  •  
Memberi peluang untuk memajukan kecekapan guru melalui seminar-seminar, persidangan-persidangan, dan sebagainya yang diadakan pada Hari Guru.
 
  •  
Menilai secara objektif peranan guru dengan berlatarbelakangkan Malaysia dan mengambil langkah-langkah supaya peranan itu lebih berkesan.
 

Puisi Guru O Guru

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum menjadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yand ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan di akhir hayat

Usman Awang
1979

Ikrar Guru

Bahawasanya kami
Guru-guru negara Malaysia
Dengan ini berikrar
Mendukung terus cita-cita kami
Terhadap tugas kami
Dan menyatakan keyakinan kami
Pada cita-cita murni pekerjaan kami

Kami akan berbakti
Kepada masyarakat
Dan negara kami.

Kami sentiasa menjunjung
Perlembagaan negara
Kami mengamalkan
Prinsip-prinsip Rukun Negara
Pada setiap masa.

Tatasusila Profesion Keguruan Malaysia

Kami, guru-guru Malaysia, yakin bahawa tujuan utama pendidikan ialah berusaha menuju ke arah pembentukan warganegara yang berilmu, yang taat setia, yang bertanggungjawab dan berkebolehan, yang menyedari betapa pentingnya usaha menuju ke arah kebenaran dan ke arah pencapaian hasrat yang gemilang dan yang percaya kepada demokrasi, kebebasan perseorangan dan Prinsip-Prinsip Rukun Negara.

Melalui pendidikan, masyarakat dapat membantu anak mudanya memahami kebudayaan mereka, memperolahi pengetahuan yang telah terkumpul sejak zaman berzaman, dan menyediakan mereka untuk cabaran pada masa hadapan.

Dengan menyedari betapa besarnya tanggungjawab membimbing anak muda untuk mencapai kemajuan sepenuh-penuhnya, maka dengan ini kami menerima Tatasusila berikut sebagai panduan untuk membolehkan kami menyempurnakan profesion kami ke taraf kesusilaan yang setinggi-tingginya.

I

TANGGUNGJAWAB TERHADAP PELAJAR
 

 

1. Lebih mengutamakan kebajikan dan keselamatan pelajar kami daripada hal-hal lain.

 

2. Bersikap  adil terhadap setiap orang pelajar tanpa mengira faktor-fakrot jasmani, mental, emosi, politik, ekonomi, sosial, keturunan atau agama..

 

3. Merahsiakan maklumat ikhtisas atau sulit mengenai pelajar kecuali kepada mereka yang berhak mengetahuinya.

 

4. Membimbing atau mengajar seseorang pelajar dalam darjah sendiri atau dalam mata pelajaran-mata pelajaran yang diajar di bilik darjah tanpa sebarang bayaran.

 

5. Menunjukkan suatu cara pakaian, pertuturan dan tingkah laku yang dapat memberikan contoh yang baik kepada pelajar.

 

6. Memelihara dan memperbaiki kecekapan ikhtisas melalui pengkajian, lawatan dan menghadiri kursus ikhtisas, persidangan, mesyuarat atau seminar supaya pengajaran kami mencapai mutu yang setinggi-tingginya.

 

   

II

TANGGUNGJAWAB TERHADAP IBU BAPA
 

 

1. Menghormati tanggungjawab utama ibu bapa terhadap anak-anak mereka.

 

2. Berusaha mewujudkan hubungan mesra dan kerjasama yang erat di antara institusi pendidikan dengan rumahtangga.

 

3. Menganggap semua maklumat yang diberikan oleh ibu bapa mengenai keadaan rumahtangga atau mengenai anak mereka sebagai sulit dan tidak akan membocorkannya kepada sesiapa kecuali kepada mereka yang berhak mengetahuinya.

 

4. Memberikan maklumat kepada ibu bapa demi kepentingan anak-anak mereka, dan menggunakan maklumat yang diterima daripada ibu bapa secara teliti dan bijaksana.

 

5. Mengelakkan diri daripada menggunakan atau dipengaruhi oleh kedudukan sosial dan ekonomi ibu bapa pelajar.

 

6. Mengelakkan diri daripada mengeluarkan kata-kata atau melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan kepercayaan pelajar terhadap ibu bapa atau penjaga mereka.

 

   

III

TANGGUNGJAWAB TERHADAP MASYARAKAT DAN NEGARA
 

 

1. Mengelakkan diri daripada menyebarkan sesuatu ajaran yang boleh merosakkan kepentingan pelajar, masyarakat, negara, atau pun yang bertentangan dengan Rukun Negara.

 

2. Memupuk dalam diri setiap pelajar sikap dan nilai yang boleh membantu dan membimbing mereka untuk menjadi warganegara yang  taat setia, bertanggungjawab dan berguna, menghormati adanya perbezaan kebudayaan, keturunan dan agama.

 

3. Menghormati masyarakat tempat kami berkhidmat dan memenuhi segala tanggungjawab sebagai seorang warganegara dan sentiasa sanggup mengambil bahagian dalam sebarang kegiatan masyarakat.

 

4. Menggalakkan kerjasama dan persefahaman di antara guru dengan ibu bapa, institusi pendidikan dengan masyarakat.

 

5. Memberi sumbangan cergas untuk meninggikan kehidupan moral, kebudayaan dan kecendekiawanan masyarakat.

 

6. Berpegang kepada tingkah laku yang sopan yang diterima oleh masyarakat dan menjalani kehidupan kami sehari-hari dengan baik.

 

   

III

TANGGUNGJAWAB TERHADAP RAKAN SEJAWAT DAN PROFESION KEGURUAN
 

 

1. Mengelakkan diri daripada membuat sebarang kenyataan atau ulasan yang boleh mencemarkan nama baik seseorang guru di hadapan pelajar atau ibu bapa, atau berbuat sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah seseorang guru.

 

2. Tidak melibatkan diri dalam kegiatan yang boleh menjejaskan kecekapan kami sebagai guru.

 

3. Berusaha dengan sepenuh-penuhnya menunaikan tanggungjawab kami dengan rajin dan bersungguh-sungguh dan mengekalkannya sejajar dengan kemajuan ikhtisas dan sosial.

 

4. Sentiasa bersedia membantu rakan sejawat kami terutamanya mereka yang baru dalam profesion keguruan.

 

5. Sentiasa mengawasi diri kami supaya tidak mencemarkan nama baik profesion keguruan.

 

6. Akan menjadi ahli sesebuah pertubuhan guru.
Catatan : Guru yang dimaksudkan dalam konteks Tatasusila ini ialah orang yang menyebarkan ilmu pengetahuan di sesebuah institusi peringkat rendah, menengah dan tinggi, termasuk guru terlatih yang bertugas dalam pentadbiran, organisasi dan penyeliaan pendidikan.

Etika Kepimpinan

Tanggungjawab

  • menjalankan tugas dengan bersih, cekap dan amanah, setia dengan penuh minat, disiplin dan dedikasi.
  • sentiasa memberi keutamaan kepada kepentingan negara dan tidak mementingkan diri sendiri.
  • sentiasa berusaha meninggikan imej perkhidmatan dan organisasi.
  • membuat pertimbangan yang teliti dan adil sebelum membuat keputusan dan tegas dalam melaksanakannya.

Sikap

  • sensitif terhadap persekitaran kerja dan alam sekeliling dan berusaha menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling.
  • sentiasa bersikap positif dan bertanggungjawab.
  • mempunyai fikiran terbuka dan sedia menerima teguran dari semua pihak untuk faedah organisasi dan negara.
  • mengambil berat tentang masalah yang dihadapi oleh rakan sejawat, baik pihak atasan mahupun rakan sejawat di bawahnya.

Perawakan dan Peribadi

  • mempunyai peribadi yang mulia, berbudi pekerti dan perawakan yang baik.
  • sentiasa bersabar dan tenang dalam menghadapi masalah dan cabaran.
  • sentiasa berusaha menambah ilmu pengetahuan.
  • menjaga hubungan baik bagi setiap golongan masyarakat.

Lagu Guru Malaysia

Kami guru Malaysia
Berikrar dan berjanji
Mendidik dan memimpin
Putera puteri negara kita

Pada Seri Paduka
Kami tumpahkan setia
Rukun Negara Kita
Panduan hidup kami semua

Di bidang pembangunan
Kami tetap bersama
Membantu, membina
Negara yang tercinta

Amanah yang diberi
Kami tak persiakan
Apa yang kami janji
Tunai tetap kami tunaikan

Lagu & Lirik : Hashim Ahmad

Lagu Guru Berkualiti Aspirasi Negara

Guru berjasa
Mendidik bangsaku
Hidup berilmu dan berhemah mulia
Dukung cita negara
Junjung wawasan mulia
Berteraskan falsafah pendidikan

Guru berbakti
Setulus hatinya
Ikhlas serta jujur setia
Demi Bangsa Malaysia
Negara yang tercinta
Kualiti pendidikan terus ditingkatkan

Chorus
Guru Berkualiti Aspirasi Negara
Mendukung kejayaan bangsa
Masyarakat harmoni berperibadi
Nilai budi berjati diri

Guru Berkualiti Aspirasi Negara
Menjulang martabat Malaysia
Pertiwiku aman makmur sejahtera
Cemerlang gemilang selamanya

Music Solo
Ulang Chorus

Lagu & Lirik : Rosli Ahmad

Reka Bentuk Lambang

WARNA

Putih

: Menunjukkan kesucian, kesabaran, kesempurnaan dan keamanan.
Perak : Menunjukkan rakyat berbilang bangsa yang bersatu padu dan teguh.
Kuning : Sinaran cahaya yang cemerlang pada masa hadapan. Bulan dan bintang membawa erti yang terkandung dalam bendera Malaysia.
Merah : Menunjukkan keteguhan semangat.
Biru : Menunjukkan perpaduan dan muhibah.

Dari pusat lambang tersebut, muncullah buku yang memberi ilmu pengetahuan dalam segala lapangan bagi kepentingan negara yang aman dan makmur. Di hadapan buku didapati reka bentuk seorang murid yang sentiasa memerlukan pengajaran dan pendidikan daripada guru. Dua reka bentuk di antara murid dan buku, ialah guru perempuan dan lelaki yang berfikiran sama dalam segala lapangan tentang mata pelajaran dan kokurikulum. Mereka sentiasa menggalakkan murid-murid supaya meninggikan mutu pelajaran dan kegiatan kokurikulum mengikut prinsip-prinsip Rukun Negara. Dari bawah didapati satu garisan bulat yang tebal yang mengandungi slogan "HIDUP BERBAKTI". Ini menjadi sebuah tapak yang luas dan kukuh membuktikan perpaduan guru.

Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan

"Anugerah Tokoh Guru" adalah merupakan penghargaan dan pengiktirafan Kementerian Pendidikan Malaysia terhadap kewibawaan seseorang guru berdasarkan kriteria berikut :

  • Perkhidmatan cemerlang di bilik darjah.
  • Sumbangan cemerlang kepada profesion keguruan dan pendidikan.
  • Penglibatan aktif dalam kegiatan luar bilik darjah dan khidmat masyarakat.
  • Kecemerlangan dalam bidang-bidang lain.

Syarat-syarat Pemilihan Calon Tokoh Guru

  • Calon hendaklah seorang Warganegara Malaysia yang dilahirkan di negara ini.
  • Calon Tokoh Guru untuk peringkat kebangsaan seboleh-bolehnya hendaklah dipilih daripada tokoh-tokoh yang telah dianugerahkan gelaran Tokoh Guru Peringkat Negeri.
  • Calon hendaklah berumur 50 tahun atau lebih, sama ada masih berkhidmat ataupun telah bersara, tidak termasuk persaraan pilihan, melainkan sebab-sebab kesihatan.
  • Calon Tokoh Guru hendaklah sedang, atau telah berkhidmat sebagai guru, atau pengetua, atau guru besar, atau pensyarah, atau pentadbir di dalam perkhidmatan pendidikan.
  • Kriteria pemilihan Calon Tokoh Guru hendaklah berasaskan kepada urutan keutamaan berikut :
    • Perkhidmatan cemerlang sebagai guru di bilik darjah.
    • Sumbangan cemerlang kepada profesion keguruan dan pendidikan.
    • Penglibatan aktif dalam kegiatan luar bilik darjah dan khidmat masyarakat.
    • Kecemerlangan dalam bidang-bidang lain.
  • Pemilihan calon Tokoh Guru boleh juga dibuat ke atas tokoh yang telah meninggal dunia.
  • Kesatuan dan persatuan perkhidmatan perguruan boleh membuat pencalonan di peringkat negeri dan kebangsaan.
     

Reka Bentuk Pingat Tokoh Guru

Bentuk
Dari bentuk bulat 6 sm dibahagi menjadi 5 pepenjuru. Lima pepenjuru ini melambangkan 5 prinsip Rukun Negara. Bentuk keseluruhan menyerupai bentuk bintang dengan 14 penjuru yang mewakili 14 buah negeri di Malaysia.

Corak
Kerawang adalah merupakan satu corak tradisional dan melambangkan kemalaysiaan. Corak ini juga melambangkan bidang perguruan yang merupakan satu kesenian yang indah dan murni.

Warna
Warna keemasan melambangkan kemurnian dan kesucian niat serta jasa-jasa guru. Warna ini juga mencerminkan jasa bakti seseorang guru itu adalah seteguh emas.

Tokoh-Tokoh Guru Kebangsaan
 

1975

Puan Hajah Zainun Munshi Sulaiman
Encik Mohd. Nor Ahmad
Encik Ting Pin Sung
Encik A.V. Perumal
Encik Tan Chong Bee
 
1976 Tuan Haji Kassim Harun
Tuan Haji Mohammad Haji Abdullah
Tuan Haji Ali Mohd. Yunus
Encik V.K. Thaillaikannu
Encik Tan Chee Meng
 
1977 Tuan Haji Abu Bakar Al Bakir
Encik Qua Chiew Kooi
Tuan Haji Ahmad Abdul Rahman
Encik Abu Kassim Yusof
Encik Abdul Rahman Md. Akib
Encik K.Kannan
Puan Lily Eberwein
 
1978 Encik Ann Moreira
Encik Bapoo Mohd. Hashim
Dato' Haji Abdul Alif Haji Md. Arshad
Encik Gurnam Singh
Encik Mohd. Nor Abd. Hamid
Encik Waung Yoon Nien
 
1979 Kapt. Dato' Haji Mohd. Nor Mohammad
Tuan Haji Muhammad Yusof Ahmad
Encik Mohd. Aslie Luttah
 
1980 Tuan Haji Omar Othman
Tuan Haji Mohd. Diah Abdul Rahman
Dato' James Frederick Augustine
 
1981 Tuan Haji Mohd. Yusof Badin
Puan Hajah Maimunah Abdul Rahman
Tuan Haji Othman Haji Ali
 
1982 Dato' Haji Zainal Abidin Ali
Tuan Haji Abd. Rashid Ahmad
Tuan Haji Mohd. Zain Rashid
 
1983 Datuk Polycrap Sim Sheng Mong
Tuan Haji Muhammad Zain Ayub
Encik Ang Kean Kah
 
1984 Tuan Haji Abd. Razak Abd. Hamid
Encik Shaharom Husain
Tuan Haji Muhammad Bujang
Puan Hajah Hendon Haji Din
 
1985 Encik A. Ali Manjang
Encik Ahmad Kotot
Tuan Haji Idris Haji Abd. Salam
Tuan Haji Yasin Saleh
 
1986 Dato' Haji Abd. Aziz Tapa
Puan Rasammah Naomi Bhupalan-Rajendran
Dato' Ariffin Md. Nam
 
1987 Dato' Paduka Sheikh Abd. Mohd. Nor
Encik Chang Min Phang Paul
Tuan Haji Hashim Abd. Rahman
 
1988 Encik Sulaiman Haji Ebi
Cik Visalacey Muttu
Encik Harith Muhammad Liki
 
1989 Encik Mohamed Ali Mohamed
Encik Goon Koo Leong
YM Raja Lope Ahmad Raja Mohd. Ali
Puan Hajah Saidah Haji Mohd. Fadlullah
 
1990 Dato' Haji Idris Haji Tain
Tuan Haji Abdullah Sani Abu Bakar
Encik Michael Graham Parry
 
1991 Datuk Haji Parman Hassan Raji
Dato' Haji Abbas Haji Muhammad
Puan Dawn Parry
 
1992 Dato' Haji Ibrahim Sulaiman
Puan Siti Bidayah Haji Din
Encik Lau Hut Yee
 
1993 Dato' Abdul Aziz Ismail
Tuan Haji Ibrahim Yaakob
Tuan Haji Mohd. Said Saidin
Dato' Haji Mohd. Taib Omar
 
1994 Tuan Haji Wan Samsudin Mohd. Yusof
Encik Nordin Haji Mahmood
Encik Jikal Gabie
Encik Khor Beng Hoe
 
1995 Tuan Haji Haaman@Sharman Abu
Encik Anthony Reynolds Peter
Tuan Haji Wan Din Wan Mat
Encik Amirbek Amir Husain
 
1996 Encik Anthony Lim Peng Hwa
Puan Hajah Embun Muhamad Ali
Puan Irene Syawe Chin Chi
Encik Abdul Razak Ismail
 
1997 Dato' Haji Jumaat Dato' Haji Mohd. Nor
Dato' N.S. Selvamany
Tuan Haji Harun Haji Hassan
Tuan Aminuddin Muhammad
 
1998 Dato' Haji Abdul Rahim Haji Abdul Majid
Dato' Dr. Haji Yahya Ibrahim
Tuan Haji Mohd. Tahir Haji Ahmad
Tuan Haji Mohamed Ali
 
1999 Puan Molly Chong Nee Molly Gee
Encik Mohd. Mokhtar Talib
Puan Hajah Rahmah Haji Hussain
Tuan Haji Hambali Abdul Razak
Tuan Haji Kasim Muhammad
 
2000 Puan Nik Faizah Mustapha
Tuan Haji Tawi Yaakub
Encik Cheong Yong Kwong
Tuan Haji Abd. Ghani Wahab
Dr. Seenivasagam Muthukumar Ponniah
 
2001 Tuan Haji Mohamed Saat Bongkek
Encik Abang Hamdan Jas
Puan Hajah Siti Aishah Haji Ab. Rahman
Tuan Haji Sulaiman Samad
Encik Robert David
 
2002 Tuan Haji Abdul Karim Abdullah
Tuan haji Khamis Noyo
Tuan Haji Abdul Hamid Haji Noor Mohamed
Cik Hajah Nasriah Haji Maghribi
Encik Nagaratnam a/l Ponnurengan
 
2003 Puan Sri Aisha Haji Shamsuddin
Tuan Haji Sulaiman Mohd. Nawi
Tuan Haji Hussain Haji Paris
Encik M.P. Rangganathan
Encik Ho Thean Sung
 
2004 Tuan Haji Md. Ismail Zam Zam
Cik Alice Wee Siew Eng
Encik Krishnasamy a/l Tambusamy
Puan Hajah Wan Safinah Haji Saleh
Encik Ali bin Suhaili
 
 
Tema-Tema Perayaan Hari Guru
 
1972 - Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara
 
1973 - Kerjasama Ibu Bapa Untuk Kemajuan Pendidikan
 
1974 - Peranan Guru Dalam Zaman Sains dan Teknologi
 
1975 - Guru dan Pembangunan Negara
 
1976 - Pendidikan Moral Dalam Zaman Kemajuan
 
1977 - Dedikasi dan Disiplin Asas Kemajuan Pendidikan
 
1978 - Guru Pembentuk Generasi Akan Datang
 
1979 - Murid Sejahtera Negara Jaya
 
1980 - Pendidikan Teras Perpaduan Negara
 
1981 - Pengorbanan Guru Kejayaan Rakyat
 
1982 - Ke Arah Kecekapan Guru dan Pendidikan Bermutu
 
1983 - Kepimpinan Berteladan Teras Pendidikan
 
1984 - Kepimpinan Berteladan Kesempurnaan Pendidikan
 
1985 - Guru dan Masyarakat Asas Kemajuan Pendidikan
 
1986 - Pendidikan Teras Nasionalisme
 
1987 - Pendidikan Ke Arah Kesejahteraan Insan
 
1988 - Guru Pengasas Budaya Membaca
 
1989 - Guru Pembina Budaya Ilmu
 
1990 - Pendidikan Bermutu Masyarakat Sejahtera
 
1991 - Ke Arah Pendidikan Cemerlang
 
1992 - Guru Cemerlang Teras Kejayaan Wawasan
 
1993 - Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
 
1994 - Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
 
1995 - Permuafakatan dan Perpaduan Menjayakan Wawasan
 
1996 - Guru Malaysia Teras Pendidikan Bertaraf Dunia
 
1997 - Guru Bestari Sekolah Bestari
 
1998 - Guru Penyemai Tanggungjawab Bersama
 
1999 - Guru Berkesan Pendidikan Cemerlang
 
2000 - Bersatu Memartabatkan Profesion Keguruan
 
2001 - Memartabatkan Profesion Keguruan Tanggungjawab Bersama
 
2002 - Guru Berkualiti Aspirasi Negara
 
2003 - Guru Berkualiti Aspirasi Negara
 
2004 - Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
 
2005   Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
 
 
Anugerah Sekolah Harapan Negara

"Anugerah Sekolah Harapan Negara" merupakan pengiktirafan dan penghargaan Kementerian Pendidikan Malaysia terhadap segolongan guru (secara kolektif), di sebuah sekolah, iaitu satu unit institusi asas pendidikan, di atas dedikasi serta pengorbanan mereka sebagai pendidik terhadap pembangunan pendidikan umumnya serta pembinaan warganegara khususnya.

Penganugerahan ini mengiktiraf model sekolah contoh dalam konteks semasa yang dapat dimanfaatkan oleh sekolah-sekolah lain untuk menilai secara ikhtisas tentang pencapaian, cabaran dan hambatan yang dialami oleh para pendidik di sekolah berkenaan dalam melaksanakan tanggungjawab pendidikan dalam konteks masa ini.

Objektif Penganugerahan

  • Memberi pengiktirafan kepada peranan guru masa kini yang telah dan sedang berusaha untuk mempertingkatkan mutu pendidikan negara sebagai langkah ke arah pembinaan warganegara yang berguna.
  • Memupuk, mengembang serta menyuburkan perasaan perpaduan di kalangan guru-guru bagi mencapai tahap profesion keguruan yang tinggi dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka dalam konteks semasa.
  • Memberi penilaian secara objektif terhadap sumbangan guru-guru dalam melaksanakan Dasar dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan supaya penganugerahan ini akan mencetuskan semangat bersain yang sihat dan berkesan.
     

Anugerah Guru Inovatif

"Anugerah Guru Inovatif" adalah sebagai penghargaan dan pengiktirafan keapda guru atau kumpulan guru yang telah menghasilkan usaha kreatif dan inovatif yang istimewa yang telah terbukti berjaya dalam meningkatkan profesionalisme keguruan dan menjamin keberkesanan pelaksanaan kurikulum di peringkat sekolah.

Objektif Penganugerahan

  • Mengenalpasti guru atau kumpulan guru yang telah melahirkan idea dan usaha kreatif dan inovatif dalam pelaksanaan kurikulum di peringkat sekolah.
  • Memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada guru atau kumpulan guru yang dikenalpasti sebagai kreatif dan inovatif dalam pelaksanaan kurikulum itu.
  • Menyediakan saluran bagi guru atau kumpulan guru menampilkan kreativiti dan inovasi mereka dalam pelaksanaan kurikulum.
  • Menggalakkan guru berikhtiar mencari dan mencuba idea-idea baru dalam pelaksanaan kurikulum untuk mencapai kecemerlangan dalam profesion keguruan.
  • Menyebarkan maklumat berkaitan dengan kreativiti dan inovasi dalam pelaksanaan kurikulum bagi contoh teladan kaum guru dan pengetahuan umum.

 

Bahagian Sekolah, Kementerian Pelajaran Malaysia
Aras 3 & 4, Blok E2, Parcel E, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62604 Putrajaya
Tel: 03-88849000; Faks: 03-88849315

Hak Cipta Terpelihara @ 2006 - Bahagian Sekolah, KPM
Best viewed with Internet Explorer (IE) 4.0 and above in 1024 x 768 pixels screen resolution